Sebongkah Batu Di Kuala Berang: Layakkah dosanya ditanggung buku?
–A. Samad Said
Lagi sesebuah buku itu diharamkan, lagi melonjaklah popularitinya. Lagi dikeluarkan fatwa tentang buku itu, lagi melonjaklah pula penjualannya.
Siapakah mereka yang mengawal pembacaan masyarakat? Manusia biasa akan ada sifat prejudis mereka sendiri dan akan mengharamkan karya-karya yang mereka tidak suka bukan kerana ada bukti kukuh tetapi atas sebab kepentingan sendiri dan tidak semestinya menguntungkan atau melibatkan masyarakat.
Pengharaman buku perlu dilihat secara berasingan, ianya tidak boleh dihukum secara umum. Alasan yang kerap digunakan oleh pihak tertentu (baca: pro-pengharaman) ialah untuk melindungi masyarakat daripada ditipu atau dipengaruhi oleh aliran yang boleh memesongkan akhlak mahupun akidah.
Sebagai contoh, buku ‘Pelik Tapi Benar Dalam Solat’ tulisan Ustaz Abdul Rahman Mohamed adalah mengenai feqah, bukan akidah. Akan tetapi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dan menarik balik pengedaran buku tersebut dengan alasan buku ini berlainan mazhab, bimbang akan menggugat akidah pembaca.
Oleh itu, timbullah persoalan dibenak pembaca berkenaan pegangan mazhab. Adakah hanya kerana kita berpandukan mazhab Syafii’ maka menganggap mazhab lain terpesong dari akidah? Adakah mazhab–mazhab lain itu menjadikan kita sesat jika diikuti? Adakah saranan mazhab lain itu salah dan mampu menyimpangkan akidah pembaca? Oleh itu, dari sudut mana penilaian dari KDN itu dibuat?
Kemudian, Negara dikontroversikan dengan isu penarikan balik novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain ‘Interlok’ untuk tidak lagi menggunakan novel tersebut sebagai buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu pelajar tingkatan lima mulai tahun ini.
Alasan sebelum ini bahawa Interlok mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun ianya telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan. Walaubagaimanapun, usaha untuk mengharamkannya tidak bekubur begitu sahaja apabila ianya dicalit rasis oleh politikus-politikus demi kepentingan peribadi.
Jika disebabkan intipati novel tersebut hanya wujud kasta yang digambarkan oleh pengkarya, ianya bukan suatu bentuk penghinaan kepada kaum India malah merupakan realiti pada zaman berkenaan. Adakah ini sudah cukup kuat untuk mendakwa novel tersebut mempunyai elemen-elemen menjatuhkan martabat kaum tersebut? Apa sudah jadi dengan negara? Benarkan saya berkata, mundurnya pemikiran rakyat kita!
Soalan yang kian terbit di saat menulis entri ini..
Kalau tidak diharamkan, apakah impak terbesar yang berkemungkinan berlaku kepada pembaca?
Berulang setiap kali Allah menceritakan kejadian alam dan memberikan ruang berfikir kepada manusia. Allah menyatakan;
“yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang berfikir” (ar-Ra’d: 3, ar-Rum: 21, az-Zumar: 42),
juga disebut:
“yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang berakal” (ar-Ra’d: 4, an-Nahl: 12, ar-Rum 24),
Membacalah dengan mata hati. Maka minda akan lebih berkembang, lebih banyak menyoal, lebih banyak membaca. Orang putih kata, self-censorship. Bagi yang boleh berfikir dan menilai, mungkin penerangan itu akan mudah diterjemahkan dengan baik kerana setiap orang berhak membaca apa sahaja yang mereka mahukan. Tetapi malangnya, di negara ini ramai yang asyik menerima tanpa mahu menilai secara kritis.
Teori minda kita dijajah adalah sangat tepat. Ia terbukti kerana akal kita tidak berupaya untuk berfikir secara kritikal akibat kesan kecenderungan kepada pendidikan sekular yang tidak berteraskan kepada susur galur penyampaian ilmu sebenar yang dianjurkan oleh Islam sendiri. Secara terperinci, sistem pembelajaran di Malaysia hanya mementingkan pencapaian peperiksaan dan tidak banyak memberi ruangan kreatif untuk berfikir. Atas alasan itu, pelajar menjadi jumud dan bahan bacaan yang ringan menjadi pilihan.
Lalu, terhasillah karya-karya picisan yang santai, lemah gemalai dan liuk lentok dihidang kepada kita tanpa jemu. Nah lihat sahaja di kedai-kedai buku, karya apa yang setia berbaris di ruangan best-seller? Atau pergi sahaja di laman sesawang milik penerbit besar, buku apa yang terlaris mengungguli carta bulanan?
Kembali kepada persoalan tadi. Jika tidak diharamkan, bagaimana untuk mengawal buku-buku yang membawa kepada kerosakan akhlak, akidah? Buku yang menjurus kepada penghinaan kepada agama, bangsa? Persoalan demi persoalan beginilah yang sentiasa memberi ancaman kepada ibu bapa dan masyarakat lantas menyokong segala macam Akta yang disodok berkaitan pengharaman.
Adakah dengan membenarkan pengharaman ke atas buku yang mencentus kontroversi kononnya itu adalah jalan terakhir yang diambil oleh pihak berwajib? Jawapannya, TIDAK!
Mengekanglah tulisan dengan tulisan. Islam adalah agama hujah dan semestinya ditegakkan dengan hujah serta dilindungi oleh hujah. Tindakan yang lebih bijak adalah untuk menulis buku atau artikel bagi menjawab semua karya yang dikatakan mengandungi unsur keraguan kepada pembaca. Sebagai contoh, baru-baru ini, novel cereka “Sebongkah Batu di Kuala Berang” karya Faisal Tehrani diharamkan edar atas sebab (yang tidak dipastikan) bahawa tulisan penulis dipenuhi penyelewengan dari kebenaran disamping meniupkan unsur ‘syiah’ di dalam novelnya. Pendapat saya, pihak yang bertanggungjawab di dalam soal pengharaman buku ini wajiblah menyatakan sebab penarikan dengan hujah serta bukti dan terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian. Penulis pula, harus mengambil sikap berlapang dada terhadap kritikan dan menerimanya secara matang dan profesional.
Ianya mengingatkan saya kepada kisah Kassim Ahmad dalam tulisannya ‘Mencari Jalan Pulang’. Katanya (lebih kurang), “Dia berfikir begitu kerana ia berdasarkan apa yang dia kaji, dia baca dan dia belajar serta apa yang dia percaya. Dan, sekiranya ada org yang boleh merasionalkan apa yang dia percaya itu salah dan boleh menjawab segala persoalannya, maka dia akan menerima.”
Suka saya buka lembaran sejarah sebagai pedoman bersama iaitu pada zaman pertengahan Eropah yang menyaksikan banyak buku diharamkan dan dibakar atas alasan agama. Manakala di zaman penjajahan British pula, karya Pak Sako diharamkan pengedarannya dan begitu juga renteten dari peristiwa yang berlaku di Occupy Wall Street di Amerika, ada perpustakaan yang ditubuh aktivis turut dilayan sedemikian rupa.
Adakah kita ingin negara menuju ke zaman kegelapan gereja yang menghukum apa sahaja ilmu yang tidak serasi dengan kelompok tertentu tanpa alasan? Atau adakah kita terlalu jumud dan paranoid dan bertindak seperti pihak British? Jika trend begini berterusan sudah pasti ianya boleh merosakkan percambahan ilmu.
Dan jika akidahlah yang menjadi kerisauan semua pihak, izinkan saya bertanya. Bukankah untuk mengawal akidah perlulah dimantapkan akidah itu terlebih dahulu? Saya kongsi di sini jawapan Abdullah Munsyi kala dituduh sebagai mengkafir umat Melayu semasa menjadi penterjemah kepada paderi Inggeris:
“Apakah ertinya iman itu? Adapun ertinya iman itu yang kuketahui, percaya; maka jikalau kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain, jikalau tiada percaya aku akan dia, bolehkah rosak iman? Aku tiada mahu mendengar perkataan bodoh itu.”
Mungkin saya boleh simpulkan bahawa kaedah “Bacalah dengan nama Tuhan mu” itu menjawab segala persoalan di atas.




Sayangnya sasterawan seperti Kassim Ahmad kini kelihatan agak tumpul, yang pada suatu masa dahulu adalah seorang yang lantang sehingga menjadi peneraju Parti Sosialis. Buku “Mencari Jalan Pulang” dan “Memoir Kassim Ahmad” adalah bahan bacaan wajib.
[Reply]
nus Reply:
December 24th, 2011 at 12:12 PM
Penulis yg luar biasa, berani & kontroversi!
Yang plg saya ingat, beliau mampu mencetuskan perubahan sudut pandang rakyat terhadap Sejarah Melayu melalui kajiannya/tesis dengan mengangkat Hang Jebat sbg hero dan Hang Tuah dianggap sbg unsur feudal yang patut dikeji. (Betulkan jika saya salah :p)
p/s: Masih belum berdaya membaca autobiografi, ngeee.
[Reply]
Chanarong Reply:
December 24th, 2011 at 7:11 PM
yup…tak silap awal tahun 70an beliau mengangkat hang jebat sebagai hero sebenar…gegege…
[Reply]
sebelum menghurai kepada tulisan anda diatas,sy memaklumkan kekerapan saya mendukung anak ketika solat juga menghayung buaian ketika solat kerana jika tidak sedemikian maka melalak melolonglah anak kecil itu yg sentiasa minta didukung dan dimanja..sesungguhnya Islam itu agama yg mudah dan tidak sama sekali menyusahkan. Kekadang rasa jelik melihat gelagat sesetengah golongan yg cepat melatah tanpa memeriksa atau menganalisa keadaan terlebih dahulu.
Saya rumuskan kepada berikut bahawa golongan berkuasa mengharamkan penerbitan2 ini sebenarnya takut. Takut kepada percambahan ilmu rakyat dan kesedaran bahawa mereka boleh melakukan lebih daripada itu.Kerana apa? kerana terlalu selesa berada di dalam ruang sendiri.
Sudah digelar manusia..sah2 punya akal fikiran..tapi semua seolah mengecilkan kebolehan akal tersebut seperti saiznya walhal penggunaan disebalik saiznya itu amatlah luas..
[Reply]
nus Reply:
December 24th, 2011 at 11:39 AM
1. Iya, Islam agama mudah. Buku tersebut berkaitan dgn kaedah solat ketika darurat. Yang peliknya, adakah semua memahami akan maksud darurat?
2.Awak ingat tak, saat kita berdiskas berkaitan seorang Prof. yang tidak mengambil sebarang suntikan imunisasi dan suntikan2 lainnya kepada anak2nya? Mungkin boleh kita kaitkan suntikan tersebut mampu merencatkan IQ manusia. Setuju?
*pehh, bahasa buku teks.:p
[Reply]
saya berani mengatakan kerajaan sekarang sememangnya mempunyai niat (atas sedar atau tidal, sengaja atau dipengaruhi tanpa sedar) untuk merencatkan pemikiran rakyat supaya terus leka dan tidak kritis bagi memudahkan kroni masing2 terusan membolot kekayaan dan kekuasaan negara.
sebab itu semua karya berani perlu dicantas. rakyat perlu terus dibodohkan. malah golongan yang cuba terusan menggali ilmu dan berani menentang atas nama perjuangan sering dilabel sebagai pengganas, tidak bersyukur, tidak belajar sejarah, lupa daratan, berlagak hero dan bodoh sombong.
negara demokrasi katanya.
belajar, kerja, bayar ptptn!
[Reply]
Chanarong Reply:
December 26th, 2011 at 1:25 PM
Cik Wie, “belajar, kerja, bayar ptptn” tu salah…patut ubah jadi “menghafal buku teks, kerja, bayar cukai”…maka dgn ada generasi begini, sgt mudah utk mempraktikkan sistem pecah dan perintah….
[Reply]
nus Reply:
January 3rd, 2012 at 10:21 PM
wie & chana,
“Idea-idea berkuasa dalam mana-mana masyarakat sentiasa adalah idea-idea kelas pemerintah.”Karl Marx.
Kerajaan bukan shj mempunyai niat malah niatnya sudah terlaksana. Hasilnya, belajarlah habis dulu, dah berjaya kemudian nak jd orang besar lwn kerajaan pun boleh. Puiiiiiiii
[Reply]
Memang wajar novel SBKB diharamkan kerana unsur2 mencucuk jarum Syiah yg terdapat padanya spt diulas dlm blog ini http://suarajagat.wordpress.com/2011/12/21/unsur-syiah-dalam-novel-sebongkah-batu-di-kuala-berang-bahagian-2/
Para Imam r.a ASWJ kita telah mengatakan:
Menurut Imam Maliki, anakmurid Imam Ja’afar Sadiq r.a:
1) “Khalal meriwayatkan dari Abu Bakr Al Marwazi, katanya : Saya mendengar Abu Abdullah berkata, bahawa Imam Malik berkata : “Orang yang mencela sahabat-sahabat Nabi, maka ia tidak termasuk dalam golongan Islam”.
(Al Khalal / As Sunnah, 2-557 )
2) Menurut Imam Syafi’ie, mazhab yang kita anuti ini:
“Aku tidak melihat seseorang yang paling berani bersaksi dusta selain kaum Rafidhah.” (Baihaqi dalam Al-Kubra, 10/208, Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah, 9/114, Ibnu ‘Adi dalam Al-Kamil, 2/460, Al-Kifayah, 1/336)*Rafidhah adalah gelaran kpd Syiah
3) Hujjatul Islam, Imam Ghazali pula menyebut:
“Seseorang yang dengan terus terang mengkafirkan Abu Bakr dan Umar Radhiallah Anhuma, maka bererti dia telah menentang dan membinasakan Ijma kaum Muslimin. Padahal tentang diri mereka (para sahabat) ini terdapat ayat-ayat yang menjanjikan syurga kepada mereka dan pujian bagi mereka serta pengukuhan atas kebenaran kehidupan agama mereka, dan keteguhan aqidah mereka serta kelebihan mereka dari manusia-manusia lain”.
Kemudian kata beliau:
“Bilamana riwayat yang begini banyak telah sampai kepadanya, namun dia tetap berkeyakinan bahwa para sahabat itu kafir, maka orang semacam ini adalah kafir. Kerana dia telah mendustakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Sedangkan orang yang mendustakan satu kata saja dari ucapan beliau, maka menurut Ijma’ kaum Muslimin, orang tersebut adalah kafir”.
- [Fadhaihul Batiniyyah, halaman 149].
[Reply]
wie Reply:
January 3rd, 2012 at 4:08 PM
jawablah kelancangan buku dengan buku. pengharaman adalah sesuatu yang memalukan. ianya dilakukan oleh golongan yang paranoid dan menggunakan pendekatan paling menjelekkan kerana menggunakan kuasa veto yang ada. pembaca berhak membaca dan menentukan. andai ada dua karya yang bertentangan satu sama sendiri dibaca, pembaca layak menganalisis menggunakan akal. Allah beri akal untuk berfikir. bukan untuk ikutan semata. btw, mengharamkan sesebuah karya akan lebih menaikkan nama penulis dan buku. alamat makin banyaklah sebaran buku tersebut. tahniah!
[Reply]
nus Reply:
January 3rd, 2012 at 11:07 PM
Terima Kasih Iranis di atas respon dan juga link yg tlh direkemenkan.
Saya telah membaca kedua2 bahagian di blog beliau.
Realitnya, selepas membaca SBDKB pembaca akan membuat research berkenaan mazhab Ja’afri dan kaitannya dgn syiah dan juga akan berusaha mengkaji dgn terperinci sejarah sebenar ttg batu bersurat. Adakah anda terfikir bahawa, ini adalah salah satu cara membantu percambahan ilmu melalui sebuah novel yg ‘berat’? Atau kita perlu menyokong usaha kerajaan utk merencatkan percambahan spt ini??
p/s:SBDKB hanya sekadar novel rekaan, dan tiada yg benar melainkan kebenaran dr Al-Qur’an.
[Reply]
wie Reply:
January 4th, 2012 at 7:27 AM
saya telah membaca SBDKB dan tidak menganggap langsung apa yang dibangkitkan penulis blog berkenaan sebagai suatu ancaman sehingga mendorong kepada pengharaman. lucu rasanya bagi seorang yang mampu berfikir dengan matang merasa paranoid terhadap apa yang ditulis oleh FT yang bagi saya tidak semestinya merupakan satu saranan yang serius dan perlu diambil berat sekiranya keadaan tidak mendorong begitu.
[Reply]
Terima Kasih Iranis di atas respon dan juga link yg tlh direkemenkan.
Saya telah baca kedua2 bahagian di blog beliau.
Realitnya, selepas membaca SBDKB pembaca akan membuat research berkenaan mazhab Ja’afri dan kaitannya dgn syiah dan juga akan berusaha mengkaji dgn terperinci sejarah sebenar ttg batu bersurat. Adakah anda terfikir bahawa, ini adalah salah satu cara membantu percambahan ilmu melalui sebuah novel yg ‘berat’? Atau kita perlu menyokong usaha kerajaan utk merencatkan percambahan spt ini??
p/s:SBDKB hanya sekadar novel rekaan, dan tiada yg benar melainkan kebenaran dr Al-Qur’an.
[Reply]